This is an international website intended for audiences outside the United States.
Ini ialah sebuah laman web antarabangsa khas untuk pelawat-pelawat dari luar Amerika Syarikat. Pilih negara anda BM EN

Memberitahu kawan-kawan dan keluarga

Bercakap tentang penyakit radang usus (IBD) anda dengan orang lain, walaupun dengan pasangan, keluarga dan kawan-kawan anda boleh menjadi sukar. Anda mungkin berasa malu untuk bercakap tentang isu-isu yang anda sedang hadapi akibat kolitis berulser atau penyakit Crohn dan anda mungkin rasa keseorangan. Tetapi bercakap dengan seseorang boleh membantu anda rasa lebih positif tentang keadaan anda dan juga membantu mencari penyelesaian praktikal kepada masalah yang anda sedang hadapi.

Siapakah yang patut saya beritahu?

Anda mungkin tidak mahu memberitahu semua orang yang anda kenal tentang keadaan anda. Mungkin anda boleh memilih satu atau dua orang penting di kalangan ahli keluarga atau kawan-kawan untuk membincangkan diagnosis anda.

Jika anda seorang yang muda, ibu bapa dan keluarga terdekat perlu diberitahu. Jika anda seorang yang lebih tua dan mempunyai pasangan, beliau mungkin orang paling penting untuk berkongsi diagnosis tersebut. Jika mereka hadir bersama anda semasa berjumpa dengan pakar IBD, mungkin berguna untuk menyemak jika anda semua mendengar mesej yang sama daripada doktor.

Kemudian, anda mungkin ingin kongsikan diagnosis anda dengan kawan, keluarga, rakan sekerja dan guru. Sebenarnya ia bergantung kepada sebanyak mana anda ingin dedahkan dan apa hubungan anda dengan orang tersebut. Ingat, anda boleh beri maklumat pada tahap yang berbeza kepada orang yang berbeza.

Walaupun sukar untuk bercakap tentang sesetengah aspek keadaan anda, memberitahu orang yang rapat dengan anda tentang diagnosis itu akan membantu mereka memahami apa yang anda sedang lalui dan apa yang boleh dijangkakan. Mereka akan lebih menyokong terutamanya semasa kemarakan simptom.

Apakah yang patut saya beritahu kepada mereka?

Apabila anda memberitahu seseorang tentang IBD anda, adalah penting untuk mereka faham apa keadaan itu sebenarnya dan bagaimana ia boleh memberi kesan kepada anda berdua dari segi emosi dan praktikal (bergantung kepada siapa yang anda beritahu). Ingat, anda yang tentukan sebanyak mana butiran yang anda ingin kongsikan. Mungkin berguna untuk mempunyai sedikit maklumat supaya mereka boleh faham apa yang anda sedang alami dan isu apakah yang anda sedang hadapi.
Anda mungkin ingin bincangkan:

  • Keadaan anda (apakah ia), sama ada ia ialah kolitis berulser atau penyakit Crohn
  • Apakah kebimbangan anda tentang IBD anda
  • Butiran tentang simptom anda dan bagaimana ia menjejaskan kehidupan harian anda
  • Apakah bentuk sokongan yang anda perlukan daripada orang lain untuk berjaya menguruskan IBD anda

Menjelaskan tentang aspek penyakit ini yang membuat anda rasa sukar dan mencabar mungkin dapat membantu.

Ini mungkin termasuk:

  • Apa yang berlaku kepada anda semasa kemarakan simptom
  • Sebarang perkara memalukan berkaitan simptom anda
  • Rasa terdesak untuk mencari tandas
  • Kenapa ada ketikanya anda tidak mahu ke tempat awam – ini boleh membuat sesetengah aspek kehidupan sosial anda lebih mencabar tetapi jika kawan dan keluarga dapat memberi sokongan dan membantu anda dengan perancangan, ia akan lebih mudah diurus
  • Kesan sampingan daripada ubat  yang mungkin berlaku, agar mereka faham bagaimana ini memberi kesan ke atas hidup anda

Apabila memberitahu orang lain tentang penyakit anda, mungkin membantu untuk memberi mereka maklumat atau senarai sumber untuk mereka dapatkan jawapan kepada soalan mereka. Setengah orang mungkin ingin tahu dan boleh menangani maklumat terperinci yang banyak bagi menyokong anda. Bagi yang lain, fakta-fakta mudah dan praktikal mungkin lebih baik.

Apakah yang patut saya minta mereka buat?

Anda mungkin perlu memberi cadangan kepada kawan-kawan dan keluarga anda tentang jenis bantuan yang anda perlukan.

Ini mungkin termasuk:

  • Memahami bahawa ada ketikanya anda akan tidak sihat dan tidak boleh melakukan sesetengah perkara
  • Ada kefleksibelan dalam memilih aktiviti – ada ketikanya anda mungkin tidak boleh keluar rumah
  • Tidak menggunakan bilik air atau membolehkan ia digunakan bila perlu
  • Menyediakan ruang dalam peti sejuk untuk ubat-ubatan dsb.
  • Memberi galakan dan sokongan untuk mengekalkan gaya hidup sihat dan mengambil ubat anda walaupun anda berasa sihat

Jika anda seorang yang muda atau mempunyai seseorang yang menjaga anda semasa tidak sihat, galakkan mereka membaca maklumat untuk ibu bapa dan penjaga. Ketahui maklumat lanjut untuk ibu bapa atau penjaga kepada penghidap IBD.

NILAIKAN ISI KANDUNGAN INI

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars Average: 1.00 (3 votes)
Loading...

Borang maklum balas