This is an international website intended for audiences outside the United States.
Ini ialah sebuah laman web antarabangsa khas untuk pelawat-pelawat dari luar Amerika Syarikat. Pilih negara anda BM EN

Mengembara

Jika anda menghidap kolitis berulser atau penyakit Crohn, anda mungkin berasa bimbang untuk mengembara kerana terpaksa berada di dalam kereta atau kapalterbang untuk tempoh yang lama. Anda juga risau untuk ke tempat yang asing dengan makanan yang asing.

Apabila anda mengalami remisi, mengembara dengan IBD bukan suatu isu. Namun, jika anda mengalami kemarakan simptom, ada beberapa perkara yang anda perlu rancang; sama ada anda akan menaiki bas untuk ke bandar tersebut atau terbang ke negara asing.

Walaupun anda menghidap penyakit radang usus, ada beberapa perkara yang anda boleh buat untuk membantu perjalanan anda.

Merancang Lebih Awal

Ubat-ubatan

  • Bawa ubat yang mencukupi untuk sepanjang perjalanan anda. Mendapatkan preskripsi di luar negeri boleh menjadi sukar.
  • Jika anda mempunyai ubat yang perlu disimpan di dalam peti sejuk, gunakan beg kecil sejuk yang boleh dibeli di farmasi sebelum pergi.
  • Bawa bersama satu salinan preskripsi anda (termasuk nama generik – kerana nama jenama mungkin berbeza dari satu negara ke satu negara) sebagai persediaan jika anda perlu menambah bekalan
  • Simpan ubat dalam bekasnya yang asal supaya mudah dikenal pasti
  • Bawa bekalan ubat yang dibeli di kaunter seperti antidiarrheal, anti-spasmodik, uncang rehidrasi dan ubat penahan sakit. Berbincanglah dengan pakar IBD anda sebelum membeli atau membawa ubat-ubat ini
  • Gunakan kotak pil untuk jumlah yang kecil yang diperlukan untuk perjalanan sehari, supaya anda sentiasa mempunyai ubat bersama anda
  • Jika anda menggunakan jalan udara, simpan ubat dalam bagasi tangan sebagai persediaan jika bagasi anda hilang. Sekarang terdapat sekatan ke atas bagasi tangan, maka dapatkan surat daripada pakar IBD anda yang menyatakan keperluan perubatan anda. Ada baiknya jika anda semak dengan syarikat penerbangan semasa menempah tiket tentang sebarang peraturan berkaitan membawa ubat di dalam bagasi tangan

Daripada doktor anda

  • Dapatkan surat daripada doktor anda dengan sejarah perubatan anda dan ubat-ubat yang anda bawa. Ini berguna jika anda disoal oleh pegawai kastam atau jika berlaku kecemasan. Ini juga berguna untuk ditunjukkan kepada doktor di luar negeri, jika perlu. Terjemahan surat tersebut dalam bahasa negara berkenaan juga amat membantu.
  • Minta pelan tindakan bertulis daripada doktor anda sebagai persediaan jika keadaan anda semakin teruk semasa mengembara
  • Simpan nombor telefon doktor anda dan kad insurans dalam dompet anda

Pengangkutan dan pergerakan

  • Dapatkan maklumat sama ada bas dan keretapi yang anda akan naiki menyediakan tandas. Semasa menempah tiket kapalterbang, minta tempat duduk tepi laluan berhampiran tandas
  • Maklumkan syarikat penerbangan tentang keperluan diet anda atau bawa snek sendiri
  • Bawa snek dan makanan yang anda boleh makan jika makanan tempatan tidak sesuai dengan anda
  • Layari laman-laman web untuk mengetahui sebarang maklumat tentang tempat tersebut atau sebarang tip daripada penghidap IBD yang lain yang boleh membantu (lihat di bawah)

Pemeriksaan keselamatan

Dengan pemeriksaan keselamatan yang semakin ketat semasa menaiki kapalterbang, kapal dan keretapi, anda mungkin risau jika anda boleh membawa ubat-ubat anda bersama. Anda hendaklah bersedia untuk menunjukkan kotak pil dan lain-lain ubat anda, juga sebarang peralatan perubatan.

Jika anda menjalani pemeriksaan tubuh, beg stoma dan perlindungan sanitari anda mungkin akan disentuh. Surat daripada doktor anda yang menjelaskan keadaan anda dan pengubatan dan sebarang peralatan yang anda mungkin perlukan akan membantu menjelaskan situasi anda.

Anda harus tahu bahawa anda berhak mendapat bantuan daripada orang yang berkelayakan apabila diperlukan.

Adakah terdapat tempat-tempat yang saya tidak harus pergi?

Jika anda merancang untuk pergi ke negara sedang membangun, ada baiknya jika anda berbincang dengan pakar perubatan kembara. Kemudian berbincang dengan pakar IBD anda sebelum membuat keputusan untuk melawat tempat-tempat tersebut.

Apakah isu harian yang saya perlu fikirkan semasa dalam perjalanan?

Mengalami kemarakan simptom kolitis berulser atau penyakit Crohn tidak bermakna anda tidak boleh meninggalkan hotel tetapi lebih baik jika anda membuat sedikit perancangan praktikal.

Ketahui lokasi tandas awam. Gunakan internet untuk membantu anda dan jika anda mempunyai telefon pintar, info seperti ini ada tersedia dalam aplikasi tertentu.
Di sesetengah negara, anda boleh mendapat kad “Tidak Boleh Tunggu” khas yang memberi anda akses kepada tandas awam dan tandas untuk orang kurang upaya tanpa perlu beratur.
Bawa tisu tandas atau pakaian tambahan bersama anda

Vaksinasi

Seperti mana-mana pelan perjalanan, sentiasa pastikan anda mendapat vaksinasi yang berkaitan dan ubat malaria.

Berbincanglah dengan doktor anda dalam tempoh masa yang mencukupi (4-6 minggu sebelum perjalanan tersebut). Jika anda bercadang untuk menggunakan khidmat klinik kembara bebas, sentiasa beritahu doktor tentang keadaan anda. Jika anda sedang dirawat untuk IBD, anda juga perlukan vaksinasi terhadap penyakit-penyakit berikut, bergantung kepada destinasi perjalanan anda:

  • Demam kuning
  • Hepatitis A
  • Hepatitis B
  • Taun
  • Penyakit Anjing Gila
  • Meningokokus ensefalitis
  • Ensefalitis Jepun
  • Batuk Kering

Jika anda menggunakan steroid, immunomodulator atau terapi biologi untuk kolitis berulser atau penyakit Crohn anda, elakkan sesetengah vaksin (terhadap demam kuning, taun dan batuk kering) kerana ubat-ubat ini boleh menjejaskan keupayaan untuk bertindak balas terhadap vaksin. Sentiasa bertanya doktor anda untuk mengetahui vaksin yang sesuai untuk anda.

Jika anda akan melakukan perjalanan jauh – berbincanglah dengan doktor atau pakar klinikal kembara anda tentang sama ada anda memerlukan suntikan untuk mencegah trombosis vena dalam (DVT).

Berhati-hati dengan apa yang anda makan

Sentiasa berhati-hati dan perhatikan apa yang anda makan. Begitu juga dengan air minuman dan sentiasa minum air yang dibotolkan (walaupun untuk memberus gigi) dan berhati-hati untuk tidak meminumnya dengan tidak sengaja semasa mandi. Elakkan sushi, sayuran mentah (termasuk salad), aiskrim dan ais loli. Ingat, mintalah minuman tanpa ais kecuali ais itu dibuat daripada air yang dibotolkan.

Sayuran dan daging yang dimasak daripada restoran terkenal selamat dimakan tetapi elakkan makanan yang dijual di tepi jalan. Sentiasa kupas buah sebelum makan.

Insurans perjalanan

Sebelum memulakan perjalanan, pastikan polisi perjalanan anda mencukupi dan akan melindungi masalah berkaitan IBD anda. Malangnya, banyak polisi insurans tidak melindungi penyakit pra-wujud dan mungkin akan menolak tuntutan. Oleh itu pastikan polisi perjalanan anda menawarkan perlindungan penuh. Anda juga mungkin perlu mengesahkan bahawa anda tidak mengembara tanpa kebenaran doktor anda.

NILAIKAN ISI KANDUNGAN INI

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars Average: 0.00 (0 votes)
Loading...

Borang maklum balas