This is an international website intended for audiences outside the United States.
Ini ialah sebuah laman web antarabangsa khas untuk pelawat-pelawat dari luar Amerika Syarikat. Pilih negara anda MY EN

Belajar dengan IBD

Jika anda sedang menuntut di sekolah atau universiti, ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk menghadapi penyakit radang usus (IBD) anda dan tetap berjaya dalam pelajaran.

Di sekolah

Ibu bapa anda mungkin telahpun memaklumkan pihak sekolah tentang penyakit Crohn atau kolitis berulser (penyakit radang usus (IBD)) anda tetapi anda juga mungkin ingin bercakap dengan guru anda tentang:

  • Sokongan tambahan yang anda mungkin perlukan – contohnya tarikh akhir lebih lama, boleh membuat kerja di rumah dan boleh ke tandas pada waktu kelas
  • Masalah yang anda sedang hadapi
  • Sebarang isu dengan makanan di sekolah – anda mungkin perlu makan semasa waktu kelas atau tidak dapat selalu makan apa yang tersedia di sekolah

Bercakap secara terbuka dengan guru anda akan membantu pihak sekolah menyokong anda. Minta ibu atau bapa atau kawan untuk menemani anda jika itu dapat memudahkan perbincangan

Melanjutkan pelajaran ke universiti

Pergi ke universiti ialah satu pencapaian besar dan peluang yang menarik. Jika anda menghidap IBD, anda mungkin terfikir bagaimana anda akan menghadapi keadaan anda dalam persekitaran baru, terutama bila anda juga perlu berpindah dari rumah.

Adakah saya perlu memaklumkan universiti yang saya menghidap IBD?

Anda tidak perlu memaklumkan pihak universiti atau kolej tentang keadaan anda. Namun, mereka akan dapat membantu menyokong anda jika anda memberitahu mereka.

Apa-apa yang anda beritahu pihak universiti akan dirahsiakan dan sebarang maklumat tidak akan disebarkan tanpa persetujuan anda.

Apakah jenis sokongan yang ditawarkan oleh universiti?

Bergantung kepada di mana anda berada di dunia ini dan jenis universiti, akan terdapat pilihan yang berbeza-beza untuk membantu anda dengan keadaan anda.

Satu cara untuk mengetahui bentuk bantuan dan sokongan yang disediakan ialah dengan menghubungi Perkhidmatan Pelajar Kurang Upaya universiti atau kolej (mungkin nama jabatan sedikit berbeza). Walaupun anda mungkin tidak didaftarkan sebagai kurang upaya, menghidap IBD bermakna anda mempunyai keperluan tambahan dan anda boleh manfaatkan sebahagian daripada sokongan yang ditawarkan melalui cara ini.

Secara umumnya, jika anda menghidap penyakit kronik seperti IBD, terdapat peruntukan untuk:

  • Masa tambahan semasa peperiksaan atau untuk memenuhi tarikh akhir kerja kursus apabila kepenatan menjadi satu masalah
  • Mengatur agar anda dibenarkan makan atau mengambil ubat semasa sesi kelas
  • Pensyarah-pensyarah yang memahami bahawa anda mungkin perlu ke tandas semasa kuliah atau bengkel

Bagaimana boleh saya bantu diri sendiri?

Ada beberapa perkara mudah yang anda boleh lakukan untuk menyenangkan kehidupan anda di universiti atau kolej.

  • Duduk berdekatan pintu keluar semasa kuliah atau bengkel supaya anda boleh keluar dengan cepat bila perlu
  • Jika anda mempunyai loker, simpan pakaian tambahan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini
  • Sentiasa bawa ubat bersama anda dan ambil seperti biasa. Jika anda risau terpaksa mengambil ubat semasa kuliah, seminar atau kelas, beritahu tutor peribadi anda atau seseorang dalam jabatan

Anda juga boleh bercakap dengan tutor peribadi atau seseorang dalam jabatan sokongan pelajar. Walaupun anda mungkin rasa malu, besar kemungkinan jabatan anda telah biasa membantu pelajar yang menghidap penyakit kronik. Menerangkan keadaan anda kepada pensyarah anda (walaupun secara tidak langsung iaitu melalui tutor peribadi anda) akan membantu mereka untuk lebih memahami situasi anda agar sokongan dan peruntukan yang secukupnya boleh dibuat. Ini akan memastikan anda tidak dilihat sebagai ‘malas’ jika anda tidak dapat hadir ke kelas kerana sakit dan juga bermakna pengajar boleh memberikan anda akses kepada bahan-bahan yang anda telah ketinggalan.

Anda mungkin ingin bincangkan yang berikut dengan tutor peribadi anda:

  • Kedudukan tandas dan jika anda boleh mendapat kebenaran untuk menggunakan tandas kakitangan jika terpaksa dan jika ada
  • Kelewatan – Tenaga pengajar harus diberitahu yang ada ketikanya anda mungkin akan lewat ke kelas kerana IBD anda
  • Makan antara waktu rehat – Anda mungkin perlu makan semasa kuliah/seminar jika anda terpaksa makan dalam jumlah yang sedikit secara tetap
  • Sakit atau menghadiri janji temu – Semasa kemarakan simptom atau semasa anda tidak sihat atau penat, anda mungkin terpaksa tidak hadir ke kelas. Ketahui cara terbaik untuk anda mengejar pelajaran dan kerja yang tertinggal
  • Lawatan sambil belajar – Jika anda menyertai lawatan, pastikan penganjur tahu tentang IBD anda dan tandas yang mencukupi ada tersedia dalam perjalanan dan di tempat penginapan

Saya risau tentang berpindah dari rumah

Kebanyakan penghidap IBD dapat hidup berdikari. Dengan sedikit perancangan lebih awal, anda seharusnya boleh berpindah keluar dengan penuh keyakinan.

Terdapat beberapa pilihan penginapan – setiap satu dengan senarai soalannya yang tersendiri:

Dewan penginapan atau kediaman kampus: Ketahui berapa ramai yang akan berkongsi tandas dengan anda dan jika terdapat kemudahan tandas di dalam bilik atau tandas peribadi. Sesetengah dewan menyediakan makanan sementara yang lain menyediakan dapur. Adakah dewan atau blok tersebut mempunyai fasiliti membasuh pakaian sendiri, atau jika tiada, adakah terdapat kedai dobi berdekatan?

Berkongsi penginapan: Berkongsi flat atau rumah atau menyewa bilik boleh membuat anda rasa seperti di rumah berbanding penginapan pelajar. Jika perlu berkongsi bilik air, ketahui berapa jauh fasiliti itu dari bilik anda dan berapa ramai pelajar yang akan menggunakannya.

Saya risau tentang tekanan di universiti ke atas IBD saya

Zaman universiti boleh menjadi sangat menekan, dengan tarikh akhir, kerja kursus dan peperiksaan. Jika anda penghidap IBD yang menjadi semakin teruk kerana tekanan, anda perlu berhati-hati untuk pastikan anda tidak terlalu tertekan. Cuba tenangkan diri dan cari jalan untuk relaks seperti bersenam secara tetap, buat senaman bernafas atau yoga.

Bagaimana jika saya beritahu pelajar-pelajar lain?

Anda akan berjumpa ramai pelajar baru di universiti dan terpulang kepada anda sama ada hendak memberitahu mereka atau tidak. Setiap orang ada cara tersendiri untuk menangani hal ini. Mungkin anda ingin mengenali mereka dahulu sebelum memberitahu mereka atau mungkin anda ingin bersikap terbuka dari awal. Terpulang kepada anda.

Walau apapun keputusan anda, mungkin berguna jika anda fikirkan bagaimana hendak memberitahu keadaan anda kepada orang baru. Terangkan secara ringkas apa itu IBD dan yang lebih penting, kesannya kepada anda.

Anda akan dapati yang memberitahu beberapa orang akan membuat anda rasa lega dan rasa disokong. Jika orang memahami apa yang anda lalui, mereka akan dapat membantu lebih banyak.

NILAIKAN ISI KANDUNGAN INI

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars Average: 2.00 (1 votes)
Loading...

Borang maklum balas