This is an international website intended for audiences outside the United States.
Ini ialah sebuah laman web antarabangsa khas untuk pelawat-pelawat dari luar Amerika Syarikat. Pilih negara anda BM EN

Virna

Virna

Saat-Saat Yang Dikongsi – Lihat Semua Pautan

Virna

Cerita Virna

Saya tidak menganggap IBD saya satu perkara buruk kerana saya perlu hidup dengannya. Saya beritahu orang tentang keadaan saya kerana tiada apa yang salah tentangnya.

Diagnosis

Saya telah didiagnosis dengan IBD semasa baru berusia 18 tahun. Saya mendapat simptom selama setahun sebelum pergi berjumpa doktor – saya tidak tahu kenapa saya tidak berjumpa dia lebih awal – saya fikir sebab saya rasa terlalu malu. Saya tidak memberitahu sesiapapun dalam keluarga sehinggalah keadaan menjadi mustahil untuk dihadapi lagi.

Pada masa saya pergi berjumpa doktor, saya telahpun terpaksa ke tandas hampir 20 kali sehari dan kehilangan banyak darah. Saya tidak boleh keluar rumah. Saya berasa sangat takut.

Tetapi apabila saya didiagnosis, saya tidak faham sangat tentangnya dan saya fikir saya boleh mengubatinya, kerana itu saya tidak begitu takut. Walaupun simptom-simptomnya menakutkan, saya rasa kuat dan saya tidak menganggapnya sesuatu yang serius.

Membuat perubahan

Pada mulanya, kehidupan saya tidak banyak berubah. Saya mula mengambil ubat dan ianya berkesan. Doktor saya tidak mengambil berat sangat tentang pemakanan atau gaya hidup saya. Tetapi saya hidup bersendirian dan tidak menjaga pemakanan. Saya juga tidak menerima keadaan saya dengan serius atau mengambil ubat secara tetap.

Selepas setahun, simptom-simptom datang semula dan saya terpaksa menukar ubat kepada yang lebih kuat yang membuat saya rasa sangat tidak sihat.

Memberitahu orang lain

Pada mulanya saya cuba menyembunyikan IBD saya – hanya kerana saya fikir saya boleh mengawalnya. Saya tidak rasa mahu memberitahu sesiapapun.

Kemudian, apabila saya benar-benar sakit, saya mula memberitahu semua orang –walaupun orang yang saya tidak kenal – saya beritahu mereka yang saya menghidap penyakit dan mungkin perlu ke tandas pada bila-bila masa. Ini mewujudkan zon selamat. Apabila orang tidak tahu apa yang sedang berlaku – mereka akan fikirkan perkara yang buruk. Imaginasi lebih teruk daripada fakta sebenar. Dengan memberitahu mereka, saya tahu semuanya akan mudah dijelaskan.

Saya tidak menganggap IBD saya sesuatu yang buruk dan saya perlu menghadapinya. Oleh itu saya beritahu orang tentang keadaan saya: tiada yang salah tentang itu.

Menguruskan IBD saya

Saya telah cuba banyak ubat yang berlainan tetapi saya tetap tidak sihat. Selama tiga tahun saya sering keluar masuk hospital dan simptom saya sangat teruk. Saya rasa sangat takut dengan penyakit saya.

Semasa saya sedang bersiap untuk perkahwinan saya, saya berasa sangat bimbang. Pada hari perkahwinan, saya berasa susah hati memikirkan mereka yang saya sayangi –sebab mereka sentiasa bimbang. Saya bimbang akan mengalami ‘masalah’ pada hari tersebut sehingga saya luahkan kebimbangan itu kepada suami dan kakak saya dan sesiapa sahaja yang rapat. Saya tidak boleh hidup tanpa kebimbangan ini dan ia telah mengawal hidup saya.

Beberapa hari selepas perkahwinan, saya dimasukkan ke hospital kerana sakit teruk.

Saat-saat saya

Saya berada di hospital selama empat minggu. Itulah tempoh paling lama dan paling teruk bagi saya. Selepas banyak ujian, doktor beritahu yang tiada lagi yang boleh ditolong dan saya harus pertimbangkan pembedahan. Tetapi saya belum bersedia untuk menerimanya. Saya fikir tentu ada cara lain. Namun, pada masa yang sama saya benar-benar kecewa dan telah berputus asa.

Saya menangis dan mengurung diri di dalam bilik air. Kakak banyak membantu dan memberitahu yang “saya boleh melakukannya.” Akhirnya saya mempercayainya dan saat paling membanggakan saya ialah bila saya memberitahu doktor yang saya tidak akan menjalani pembedahan. Saya akhirnya sedar yang saya ada kekuatan dan boleh membantu diri sendiri. Pada saat itu, saya tahu saya tidak boleh berputus asa.

Saya tekad untuk teruskan walau tiada seorang pun yakin saya boleh melakukannya. Malah saya sendiri tidak pasti, tetapi saya tahu, pada saat itu saya perlu melakukan apa saja untuk membantu IBD saya.

Dengan IBD, tidak banyak cerita yang positif – ramai mengatakan ia bukan suatu penyakit yang boleh diubati. Sukar untuk saya mendengarnya. Pada masa yang sama, kakak saya membaca banyak buku tentang cara lain untuk menangani IBD: meditasi, akupuntur, yoga, dsb dan dia mula memberikan saya maklumat. Lalu saya cuba walaupun tidak begitu pasti. Saya cuma pasti yang saya mahu mencuba semua yang termampu. Saya mulakan dengan apa-apa yang membuat saya tenang – meditasi, yoga, latihan fizikal. Saya juga mula makan secara sihat dan mengambil omega 3. Saya tidak tahu apa yang berkesan tetapi semuanya seperti membantu. Saya tinggalkan universiti dan semua tekanan – dan pada masa inilah saya mula sihat seperti sediakala.

Apa yang banyak membantu juga ialah psikoterapi. IBD ialah penyakit yang ganas – anda perlukan seseorang untuk membantu anda menghadapinya. Kadang-kadang kita rasa kita tiada kuasa dan psikoterapi mampu mengajar saya bahawa saya mempunyai kuasa ke atas penyakit saya. Ia mengajar saya untuk lebih menjaga tubuh saya.

Saya menjalani terapi selama setahun. Semasa tempoh ini, saya rasa sihat fizikal dan mental. Saya mula menjalani kehidupan kembali. Sebelas bulan selepas dimasukkan ke hospital, saya menyertai skim pertukaran pelajar antarabangsa yang dipanggil Erasmus. Saya pergi ke Valencia, di selatan Sepanyol selama 5 bulan. Dulu, ini pastinya mustahil – saya takut kepada setiap tempat asing – saya tidak pernah terfikir untuk pergi ke negara lain. Namun, selepas psikoterapi, saya rasa cukup yakin untuk melakukannya.

Apabila saya sampai di Valencia, saya rasa takut sebab sejak didiagnosis dengan KB, itulah kali pertama saya tinggalkan rumah selepas sekian lama. Lagipun, keyakinan diri saya tidaklah bagus setelah melalui fasa paling parah penyakit saya. Namun, selepas menjelaskan keadaan saya kepada koordinator, saya diyakinkan yang saya boleh pulang jika perlu. Selepas beberapa waktu, saya sedar yang semuanya berjalan lancar; saya menjalani kehidupan baru dan bebas dan inilah satu daripada pencapaian terbesar dalam hidup saya terutamanya kerana saya telah mengalami banyak kegagalan sebelum ini. Akhirnya saya berjaya menamatkan penempatan Erasmus dan mendapat pengalaman yang menyeronokkan.

Memanglah mustahil untuk meneruskan apa yang saya telah lakukan – maka sekarang saya cuba mengimbanginya. Saya makan secara sihat; saya makan makanan yang segar dan organik. Saya ambil omega 3 dan cuba bertenang. Saya lakukan yoga dan sukan tomoi dan sesuatu yang boleh menghilangkan stres. Saya fikir psikoterapi ialah yang paling berkesan. Pasti ada sesuatu yang berkesan untuk anda dan untuk orang lain – saya telah mengenal pasti apa yang boleh membantu saya.

Sekarang telah lapan belas bulan sejak saya keluar dari hospital dan saya tidak lagi mempunyai sebarang simptom. Saya tidak tahu kenapa – mungkin kerana saya menjaga diri dengan lebih baik dan sebab saya lebih tegar mengambil ubat dan tidak pernah tertinggal sebarang dos. Saya telah menemui cara yang betul untuk menguruskan penyakit ini.

Nasihat kepada yang lain

  • Anda tidak harus takut kepada penyakit anda; terdapat banyak simptom lain dan ianya sangat menakutkan tetapi anda boleh mengawal tubuh anda.
  • Terima nasihat; semasa saya sakit – saya sangka tiada siapa yang boleh memahami keadaan saya atau diri saya. Saya degil dan marah. Saya tidak bersedia untuk menerima bantuan – pada saat saya amat perlukan pertolongan. Cuba segala-gala dahulu sebelum menyerah. Ingat, ada kemungkinan anda boleh mendapat kuasa untuk mengatasi penyakit anda.
  • Saya fikir semua penghidap IBD patut mencuba psikoterapi. Ia benar-benar membantu saya menangani penyakit ini.

Masa Hadapan Saya

Selepas Erasmus, saya kembali meneruskan pelajaran dan tamat bulan lepas. Saya sangat bangga dengan pencapaian saya dalam pelajaran dan sekarang saya memohon untuk membuat PhD dalam kajian komunikasi.

Apa saya nampak ialah, lagi banyak saya mencuba perkara baru atau lagi banyak saya capai, lagi meningkat harga diri saya. Ia amat mudah untuk hilang, contohnya bagi saya, ia ialah sedikit darah atau satu cucukan dalam perut. Kerana itulah saya harus teruskan dan sekarang saya mempunyai keyakinan dan harga diri.

Saya berharap dapat meneruskan pelajaran saya dan terus mencabar dan memperbaiki diri saya!

Penafian: BUKAN PENGGANTI NASIHAT PERUBATAN. Cerita pesakit-pesakit ini adalah bagi tujuan penerangan sahaja dan bukan dimaksudkan sebagai pengganti kepada bantuan, nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan profesional. Anda hendaklah berbincang dengan doktor anda sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kesihatan anda.

NILAIKAN ISI KANDUNGAN INI

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars Average: 1.00 (3 votes)
Loading...