Menguruskan IBD anda
Tiada ubat sama ada untuk kolitis berulser atau penyakit Crohn, tetapi ada cara untuk membantu menguruskan penyakit tersebut dan mengawalnya untuk mencegah kemarakan dan komplikasi. Ia adalah:
- Pemakanan
- Gaya hidup
- Ubat-ubatan dan kemungkinan pembedahan
Cubalah Alat IBD Wellbeing untuk mengesan sejauh mana anda berjaya menguruskan penyakit radang usus (IBD) anda. Jawab beberapa soalan mudah dan terima:
- Tip-tip kesejahteraan peribadi
- Cadangan-cadangan berfokuskan gaya hidup yang praktikal untuk membantu menguruskan IBD dengan lebih baik
- Maklumat tentang pemakanan, nutrisi, ubat-ubatan dan perhubungan
Pengubatan untuk IBD
Pengubatan memainkan peranan penting dalam membantu menguruskan kolitis berulser dan penyakit Crohn. Umumnya, ubat membantu mengurangkan keradangan dalam usus seterusnya menyembuhkan bahagian yang terjejas. Ini akan melegakan simptom-simptom cirit-birit, pendarahan rektum dan sakit perut.
Rawatan bermatlamat untuk:
- Melegakan simptom-simptom kemarakan
- Mencapai remisi (ketiadaan simptom). Doktor anda mungkin memanggilnya ‘permulaan remisi’. Sebaik simptom-simptom anda dapat dikawal, rawatan diberi untuk memastikan anda bebas daripada sebarang simptom untuk jangka panjang. Ini dipanggil ‘rawatan penyenggaraan’
- Mencegah komplikasi, seterusnya memperbaiki kualiti hidup
Sebahagian daripada ubat-ubatan yang digunakan untuk matlamat yang berlainan ini mungkin sama tetapi ia diberi dalam dos yang berbeza dan untuk tempoh yang berbeza bagi tahap-tahap penyakit yang berbeza.
Jenis rawatan akan berbeza bergantung kepada kesihatan umum anda dan bagaimana keadaan anda menjejaskan anda. Pelan rawatan anda akan berdasarkan kepada elemen-elemen yang berikut:
- Sama ada anda mempunyai kolitis berulser atau penyakit Crohn
- Sejarah kesihatan dan rawatan anda
- Keperluan, hasrat dan jangkaan peribadi anda
- Bagi penghidap kolitis berulser, rawatan bergantung kepada amaun usus besar yang terjejas dan tahap keseriusan radang. Contohnya, penyakit pada usus bahagian bawah mungkin akan dirawat dengan ubat yang diberi secara terus ke dalam rektum dengan enema atau supositori tetapi radang di bahagian usus yang lain mungkin akan dirawat secara oral menggunakan tablet.
Bagi penyakit Crohn, pendekatan pertama biasanya ialah rawatan dengan ubat, sama dengan yang digunakan untuk kolitis berulser. Bagaimanapun, dengan penyakit Crohn, ubat yang menekan sistem imun (azatioprina, 6- merkaptopurina atau metotreksat) digunakan lebih kerap untuk membantu mengawal keradangan dan sebagai terapi penyenggaraan untuk mencegah simptom daripada datang kembali.
Untuk kedua-dua penyakit, pembedahan mungkin diperlukan jika pengubatan tidak berjaya atau jika terdapat komplikasi namun pendekatan pertama biasanya ialah rawatan dengan ubat. Jika anda tertanya-tanya tentang kemungkinan memerlukan pembedahan, berbincanglah dengan doktor anda.
Membuat pelan rawatan
Apabila anda telah didiagnosis sama ada dengan kolitis berulser atau penyakit Crohn, doktor anda akan merangka satu pelan rawatan yang biasanya melibatkan rawatan penyenggaraan, iaitu ubat yang anda perlu ambil setiap hari untuk mencegah sebarang kemarakan.
Anda perlu membuat janji temu susulan secara berkala untuk memastikan rawatan berhasil dan ia sesuai dengan anda dan gaya hidup anda serta untuk memantau keadaan penyakit.
Cuba ikuti pelan rawatan ini sebaik mungkin kerana ini ialah cara terbaik untuk mengawal IBD anda.
Jika pelan kelihatan akan gagal atau jika anda mula mengalami sebarang kesan sampingan, beritahu doktor anda. Beliau boleh menyemak atau mengubah ubat-ubat anda.
Anda juga mungkin akan dirujuk kepada pakar jururawat IBD yang akan dapat memberikan sokongan tambahan, butiran lain-lain sumber maklumat dan kumpulan sokongan pesakit kepada anda.
halaman-halaman dalam bahagian ini
-
Mengambil ubat anda
Rawatan untuk kolitis berulser dan penyakit Crohn hendaklah diambil secara tetap untuk mencegah kemarakan simptom dan mengekalkan remisi penyakit.
-
Tip-tip umum
Beberapa tip umum untuk membantu menguruskan IBD anda
-
Alat IBD Wellbeing
Ketahui prestasi anda dan dapatkan cadangan tentang bagaimana anda boleh membantu diri anda dengan lebih baik.